banjir Kelantan

Banjir di Kelantan ragut 2 nyawa, mangsa pindah meningkat 8,439 orang

BANJIR di Kelantan yang berlaku di penghujung musim tengkujuh kini sudah meragut dua nyawa, apabila seorang remaja menjadi korban bencana itu malam tadi.

Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13, yang dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, ditemukan pada pukul 10 malam tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),50 meter daripada lokasi terakhir, lapor Berita Harian.

Terdahulu, seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris Jumaat lalu, ditemui lemas pukul 7 petang semalam.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan banjir sebagai pesta air.

Menurut Zainal, ketika banjir melanda, orang ramai berpusu-pusu keluar untuk melihat air selain ada yang bermain air yang dikhuatiri boleh mengundang padah.

“Setiap kali berlakunya banjir, saya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya menjaga diri dan tidak bermain air yang boleh menyebabkan berlaku tragedi.

“Ini kerana beberapa daerah kita lihat arus banjir sangat deras dan situasi itu sangat membahayakan sekiranya orang ramai bersikap berani dengan meredah banjir menggunakan kenderaan biasa,” katanya.

Sementara itu, keadaan banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,439 orang pagi ini, berbanding 6,316 mangsa petang semalam.

Kesemua mangsa membabitkan 2,745 keluarga itu ditempatkan di 70 pusat pemindahan di tujuh daerah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *