HARI ini panglima tua UMNO yang sepatutnya sudah pencen dari politik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyindir PAS dalam hantaran Facebook miliknya.
Kata abang kepada pemimpin PAN, Khalid Abdul Samad itu, beliau kasihan dengan PAS kerana bendera parti itu tidak berkibar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Geli hati betul sebab apa yang diungkapkan oleh Shahrir itu umpama meludah kahak ke muka sendiri.
Apakah beliau sudah terlupa bahawa bendera UMNO, MCA dan MIC juga tidak berkibar dalam mana-mana pilihan raya yang disertai Barisan Nasional (BN) sejak dahulu hingga sekarang?
Begitu juga dengan Bersatu, PAS dan Gerakan yang sejak PRN Melaka lagi bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).
Jadi, Shahrir tidak sepatutnya menjadikan PAS tidak mengibarkan bendera sendiri sebagai satu isu kerana memang tak ada isu pun.
Malah, jika hendak dibandingkan layanan yang diterima oleh PAS bersama PN dengan ketika bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) memang jauh panggang dari api.
PAS sebagai sebuah parti yang berpengaruh besar dan mempunyai jumlah penyokong yang ramai dilayan dengan penuh hormat oleh Bersatu.
Semua parti dalam PN dianggap setaraf. Perangai abang besar seperti yang ditunjukkan oleh UMNO dalam BN tidak wujud dalam PN.
Baru-baru ini, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau pernah merungut tentang perangai abang besar UMNO ketika partinya masih bersama BN dahulu.
Katanya, semua jawatan tertinggi dalam BN seperti Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung dimonopoli oleh pemimpin UMNO.
Tidak cukup setakat itu, hala tuju dan dasar BN juga ditentukan oleh UMNO walaupun parti-parti komponen lain mempunyai pandangan berbeza.
Skandal memalukan negara melibatkan pemimpin UMNO merupakan antara punca kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Memang patut sangat Gerakan menjauhkan diri dari BN selepas PRU-14 dan PAS merenggangkan ikatan dengan UMNO sejak PRN Melaka.
Kini, PAS dan Gerakan bahagia bersama Bersatu dalam PN kerana tidak lagi menanggung pening kepala akibat perangai pemimpin tertinggi UMNO yang suka membuli mereka dahulu.
Mereka menikmati semangat setiakawan yang sebenar dan tidak lagi perlu bimbang dengan gelagat ‘kawan makan kawan’.
Leave a Reply