Pengundi muda jangan lepaskan peluang pilih pemimpin

PENGUNDI muda atau pengundi kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinasihatkan supaya membuat keputusan secara bijak dalam memilih pemimpin dan tidak bersikap emosional secara keterlaluan.

Beberapa pemimpin tempatan dan orang ramai yang ditemui SatuBerita mengakui, agak sukar menilai trend sikap golongan muda ini, tetapi berharap mereka dapat menunaikan tanggungjawab kepada negara melalui kertas undi.

Mengulas perkara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata keinginan mereka berbeza mengikut tahap usia masing-masing.

Khairul Faizi Ahmad Kamil

“Isu ini sangat subjektif, kerana tiada siapa yang boleh memberikan jawapan tuntas kehendak orang muda. Apatah lagi mereka pertama kali mengundi, sudah tentunya mereka akan dijadikan bahan kajian akan datang.

“Keinginan mereka tidak sama dengan kita atau generasi berumur 20-an, 30-an, semuanya berbeza. Majoritinya adalah golongan lepasan sekolah berusia 18,19 atay 200 tahun.

“Jika kita ditadirkan berada di tempat mereka untuk mengundi pun, tentunya kita tak terpikir sangat soal nak pilih pemimpin, bahkan soal nak pilih pasangan pun belum tentu lagi.

“Jadi, di sinilah terletaknya peranan semua calon untuk memahami apa yang pengundi muda nak,” katanya yang sudah pun mempunyai idea tersendiri untuk memenangi hati golongan berkenaan dan menyeru mereka supaya tidak melepaskan peluang untuk memilih.

Walaupun tidak mendedahkan pendekatan yang akan digunakan, Khairul Faizi yakin, pihak yang betul-betul berjaya memahami kehendak pengundi 18 tahun ke atas ini, mereka akan berjaya menarik sokongan meraih undi.

Hakikat sama diakui seorang lagi calon PN, Ronald Sia Wee Kit yang bertanding di kerusi Penggaram, Batu Pahat dengan menekankan golongan muda ini perlu mengundi dengan pemikiran rasional.

Ronald Sia Wee Kit

“Mengundilah dengan pemikiran rasional, kena fikir betul-betul. Jangan buang kertas undi dengan emosi. Kertas undi akan menetapkan masa depan kamu semua.

“Mereka yang sudah boleh (layak) mengundi akan menentukan masa hadapan mereka di Johor,” katanya yang bertekad mahu terus menasihatkan, mendorong golongan muda ini supaya keluar mengundi pada 12 Mac nanti.

Bagi calon PN untuk kerusi Simpang Jeram, Zarul Salleh, beliau mahukan golongan muda itu sedar, inilah masanya untuk mereka menggunkan kuasa memilih pemimpin yang bersih dan tidak bermasalah.

Zarul Salleh

“Semua itu termasuklah di Simpang Jeram sendiri. Di Johor kita tahu bahawa ada 70,000 pengundi muda. Kami mengharapkan adik-adik dari usia 18 hingga 20 tahun untuk keluar mengundi.

“Untuk memilih pemimpin di dalam kelas pun, kita cari yang baik dan lebih pandai. Itulah yang kita kena buat untuk memilih pemimpin dalam peringkat daerah atau DUN ini, iaitu orang yang berketerampilan, yang baik, yang boleh membantu kita dalam masa ke semasa,” katanya.

Seorang bakal pengundi pertama kali, Khairul Nazmi, 21, turut mengharapkan rakan seusianya yang sudah layak mengundi untuk menunaikan amanat memilih pemimpin pada PRN Johor.

“PRN Johor kali ini lain sikit (berbeza) kerana umur 18 tahun akan mengundi buat pertama kali. Saya pun pertama kali akan mengundi untuk PRN kali ini.

“Jadi saya menyeru untuk anak-anak muda yang kali pertama mengundi, kita keluarlah mengundi sebab inilah penentu masa hadapan dan ini juga hak kita untuk memilih pemimpin yang betul untuk masyarakat. Diharapkan yang berada di luar bandar, di Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor boleh balik untuk mengundi,” katanya.

Namun, pada masa sama, Khairul turut mengingatkan semua yang keluar mengundi supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *