Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN
SELEPAS Datuk Seri Najib Tun Razak ‘meredah’ kawasan Felda dan luar bandar di negeri ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kini bekas Perdana Menteri itu bertemu komuniti Cina pula.
Hari ini beliau mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tan Hiang Kee bertemu masyarakat Cina di sekitar Taman Bukit Indah, Pulai, Johor Bahru.
Sebelum itu pada sebelah pagi, Penasihat BN itu melakukan kunjungan dalam program santai bersama-sama penduduk setempat di sebuah warong di Taman Cempaka, Pulai, Johor Bahru.
Kedua-dua kawasan tersebut adalah dalam Parlimen Pulai iaitu kawasan yang menyaksikan BN kalah teruk termasuk penyandang kerusi Parlimen Pulai sebelum ini, Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada UMNO tersungkur .
Kesimpulan yang boleh dibuat, kunjungan Najib itu adalah untuk melihat reaksi dan sentimen masyarakat Cina sama ada sudah membuat pusingan U atau tidak untuk PRN Johor.
Semasa kunjungan itu, Najib berkata: “Saya lihat sokongan masyarakat Cina kian bertambah dan meningkat jika dibandingkan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, kini apa yang diharapkan adalah sokongan itu diterjemah dalam bentuk undi pada 12 Mac ini.
“Sungguhpun demikian, kita tidak boleh berasa terlalu yakin walaupun dalam fikiran nampak BN ada peluang yang baik, sebaliknya kita perlu tumpukan kepada soal pokok dahulu iaitu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.”
Tidak dapat dipastikan sama ada beliau membuat kenyataan itu sebagai ‘syok sendiri’ sedangkan umum mengetahui masyakat Cina di Pulai memang sudah lama menolak BN.
Walaupun dalam keadaan kes 1Malaysia Develoupment Berhad (1MDB) sedang dibacarakan di luar negara, Najib dilihat selamba bertemu orang ramai dan seakan-akan tiada apa yang berlaku sedangkan kes tersebut menjadi perhatian dunia ketika ini malah semakin dilihat tidak menyebelahi beliau.
Mungkin Ahli Parlimen Pekan itu menyangka, berita kes perbicaraan itu tidak diketahui rakyat Malaysia kerana kerajaan Pusat yang dipimpin UMNO boleh menyekat pengaliran berita itu daripada masuk ke media arus perdana.
Amat pelik apabila Barisan Nasional (BN) dan UMNO masih ‘tergamak’ menggunakan beliau sebagai ikon atau tokoh yang mewakili gabungan itu untuk menarik pengundi dalam PRN Johor.
Ini menimbulkan persoalan, adakah BN atau UMNO tidak mempunyai tokoh tempatan untuk diketengahkan? Adakah sudah ketandusan pemimpin-pemimpin di Johor yang berkaliber dan bersih?
Mengapa masih ‘mengusung’ Najib ke hulu ke hilir, adakah orang Johor tidak tahu kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang sedang dihadapinya?
Adakah BN tidak mempunyai perasaan malu? Oh ya, malu apa bosku!
Bukan sahaja Najib malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut tidak segan silu apabila mengadakan perjumpaan dengan pengundi di Batu Pahat pada pagi ini.
Kedua-dua pemimpin ini yang dikategorikan sebagai kluster mahkamah, masih ‘diberi muka’ dan peluang untuk berkempen dalam pilihan raya sedangkan kalau di luar negara, pemimpin seperti ini sudah lama dipecat daripada parti dan berkemungkinan sudah berada di balik tirai besi.
Ini adalah sesuatu yang unik tentang BN dan UMNO. Mereka tidak kisah siapapun pemimpin bermasalah yang ditampilkan asalkan boleh menang pilihan raya walaupun itu menongkah atau melawan norma masyarakat moden hari ini.
Isu pemimpin yang mempunyai integriti, bersih dan amanah bukan satu yang penting bagi BN, tidak seperti Perikatan Nasional (PN) yang menampilkan calon bersih serta bebas daripada kes rasuah atau mahkamah pada PRN Johor.
Leave a Reply