BN harga barang

Kerajaan diketuai BN gagal tangani kenaikan harga barang

RATA-RATA penduduk Johor mengeluh tentang masalah kenaikan harga barang yang semakin menjadi-jadi sejak pemimpin Barisan Nasional (BN) kembali menerajui pentadbiran negara.

Ayam, ikan, daging dan telur semuanya naik harga. Minyak masak bersubsidi dalam peket 1 kilogram pun semakin susah hendak cari.

Harga makanan di restoran dan kedai makan juga naik melambung. Kalau dulu, mi goreng sepinggan biasanya dijual pada harga RM5. Sekarang sudah naik jadi RM6.50.

Belanja beli barang dapur bagi keluarga yang mempunyai tiga orang anak pun antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Itu hanya untuk keperluan asas, belum campur barangan lain yang kadang-kadang mesti dibeli juga.

Cuba bayangkan kalau ketua keluarga yang hanya menerima gaji minimum RM1,200 sebulan. Memang jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan sekeluarga, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Hendak minta naik gaji, memang susah juga sebab majikan terpaksa menanggung kos tambahan yang akhirnya akan dipindahkan kepada pelanggan atau pengguna. Harga barang atau perkhidmatan akan meningkat lagi.

Walaupun selepas enam bulan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri, pentadbirannya masih gagal menangani isu kenaikan harga barang yang sangat meresahkan rakyat termasuk di Johor.

Sebagai parti yang telah memerintah negara selama 61 tahun sebelum kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN sepatutnya mampu mengambil langkah yang benar-benar berkesan bagi menangani isu kenaikan harga barang.

Sekadar menghulurkan bakul makanan tidak mencukupi kerana rakyat marhaen juga ingin membeli bahan makanan yang segar di pasar.

Takkanlah hari-hari kena menyuap sardin, bihun dan biskut kering sahaja. Lama-lama tekak pun jadi muak.

Memandangkan BN yang mengetuai pentadbiran negara tidak mampu mengawal kenaikan harga barang, wajarlah pengundi di Johor memberi ‘peringatan’ kepada parti yang semakin hari semakin angkuh itu.

Manfaatkan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaik-baiknya untuk mengajar BN atas kelemahan mereka yang menyebabkan rakyat hidup menderita dalam keadaan serba kesempitan.

Andainya peluang keemasan ini dipersia-siakan, BN akan menterjemahkan kemenangan di Johor sebagai petunjuk bahawa isu kenaikan harga barang yang melampau tidak menjejaskan sokongan terhadap parti yang didominasi kluster mahkamah itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *