UMNO MKT perebutan kuasa

BN letak 70% muka baharu, UMNO dilanda perebutan kuasa?

LANGKAH Barisan Nasional (BN) meletakkan kira-kira 70 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa mempunyai kaitan dengan perebutan kuasa dalam UMNO.

Memetik laporan FMT, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, langkah itu akan menyaksikan ‘puak arus perdana’ dalam UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengukuhkan kuasa mereka dalam parti.

“Saya fikir apa yang berlaku ialah perebutan kuasa dalaman secara beransur-ansur antara puak arus perdana dan mereka yang bersekutu dengan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

“Puak arus perdana cuba untuk memastikan calon-calon ini adalah orang yang akan kekal setia kepada mereka,” jelasnya.

Andaian yang diutarakan oleh Ei Sun itu adalah selari dengan khabar angin yang bertiup kencang tentang tentang perebutan kuasa yang mencetuskan konflik dalaman UMNO.

Bukan rahsia lagi bahawa kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi UMNO dan BN mula tergugat selepas Najib membuat kemunculan semula hasil kempen meningkatkan popularitinya dalam media sosial.

Selain itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semakin kuat pengaruhnya selepas kemenangan BN pada PRN Melaka dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, ada pemimpin akar umbi UMNO yang mencadangkan agar Mohamad dijadikan poster boy BN pada PRN Johor, namun cadangan ditolak. Sebaliknya, muka Datuk Hasni Mohammad yang bakal ditempel pada bahan-bahan kempen BN.

Ismail Sabri juga mempunyai kekuatan untuk mencabar dominasi Ahmad Zahid dalam UMNO hasil pengaruh dan kekuatannya selaku Perdana Menteri.

Akar umbi UMNO juga semakin resah dan gelisah ekoran kegagalan Ahmad Zahid memberi hala tuju yang jelas terhadap masa depan parti menjelang PRU-15 yang semakin hampir.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *