Oleh RIZQI ZABIDI
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor sengaja dicetuskan oleh Barisan Nasional (BN) dengan matlamat untuk mereka menang secara bersendirian di negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, BN kemudiannya mahu pula mengadakan PRU untuk mengambil kuasa bagi diri mereka semata-mata.
“Itulah tujuan sebenar BN buat PRN di Johor, kerana nak menang secara sendirian.
“Kemudian mereka nak PRU diadakan untuk ambil kuasa itu, untuk BN saja. Saya tak berapa sukalah semua itu dan saya dah cakap di Johor, tak mahu ulang dah,” katanya.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN memilik peluang cerah meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya Johor berjaya kembali kepada gabungan itu pada 12 Mac nanti.
Menurut Najib, PRN Johor penting kerana ia akan menjadi titik perubahan kepada BN dan memberi petunjuk sama ada gabungan itu mampu memenangi PRU-15 dengan bertanding solo.
Mengulas mengenai kekuatan calon-calon PN di Johor, Muhammad Sanusi berkata mereka yang diketengahkan itu dilihat kebanyakannya lebih muda daripadanya dan diliha ‘energetik’ bagi memimpin generasi muda.
“Saya ingat ini satu trend yang sangat baik. Kita ada keperluan untuk orang tua memberi pandangan, pedoman dan nasihat kepada orang muda tetapi kita perlu lebih ramai orang muda untuk memimpin generasi sekarang serta generasi akan datang,” katanya.
Sungguh pun begitu, Muhammad Sanusi mengakui agak sukar untuk meramal peluang mana-mana parti bertanding bagi menguasai Johor.
“Rakyat dah matang, orang dah terbuka. Semua orang tahu apa yang berlaku dan rakyat diberi peluang melalui PRN ini untuk memilih kerajaan yang dirasakan mampu membawa Johor lebih maju.
“Saya serah kepada rakyat Johor untuk membuat pilihan yang terbaik bersandarkan ruang terhidang di depan mereka,” katanya.
Leave a Reply