Onn Hafiz ‘lari’ ke DUN Machap, takut kalah di DUN Layang Layang?

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEPERTI sudah dijangka Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang Layang yang dimenangi dengan majoriti tipis sebelum ini, sebaliknya ‘lari’ ke DUN Machap.

Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu sah menjadi calon DUN Machap apabila menyerahkan borang pencalonannya bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam itu memberi alasan bertanding di DUN Machap kerana kawasan itu tidak asing lagi baginya.

“Machap bukanlah tempat asing bagi saya. Program bertemu masyarakat dikawasan ini sudah pun dilakukan sejak empat tahun lalu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau menang dengan hanya 364 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Jumlah itu terlalu berbahaya dan berisiko sekiranyanya beliau terus mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Apatah lagi pada PRN Johor akan menyaksikan pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang melibatkan calon daripada PKR, Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ini lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan bertanding pada kali ini.

Walaupun Onn Hafiz merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, itu tidak memberi jaminan akan menang jika bertanding semula di DUN Layang Layang.

Profile beliau juga sebagai cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dilihat tidak akan membantunya dalam meraih sokongan pengundi.

Onn Hafiz ‘menyerahkan’ kerusi DUN Layang Layang kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang Layang, Abdul Mutalib Abd. Rahim yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor.

‘Penghijrahan kerusi’ Onn Hafiz yang mencari kerusi selamat itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada diarahkan berbuat demikian kerana merupakan proksi kepada ‘kuasa elit’ di Johor.

Sepatutnya beliau bersikap ‘gentleman’ dan berani bertanding di kerusi DUN Layang Layang berdepan dengan Dr. Maszlee yang dikatakan akan dipilih sebagai Menteri Besar sekiranya beliau dan PH menang PRN Johor.

Beliau yang mempunyai darah pejuang mengalir daripada datuk dan moyangnya sepatutnya sanggup menempuh apa juga cabaran termasuk kalah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai – jika takut jawatan ‘melayang’, jangan bertanding di DUN Layang Layang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *