Bukit Kepong

Dr Sahruddin yakin tewaskan calon BN Bukit Kepong

BERHADAPAN saingan tiga calon lain sama sekali tidak mengugat keyakinan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada pilihan raya negeri Johor kali ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu tetap menaruh keyakinan pengundi di kawasan itu akan memberikan kepercayaan kepadanya, walapun berhadapan saingan sengit daripada calon lain terutamanya daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.

“… saya telah berkhidmat di sini selama empat tahun. Semua masyarakat tanpa mengira latar belakang parti atau kaum, semua kita bagi (bantuan) sama rata.

“Saya juga telah berjaya membawa pembangunan di DUN Bukit Kepong,” katanya kepada pemberita selepas sesi penamaan calon bagi DUN Bukit Kepong di Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh hari ini.

Ditanya sama ada beliau diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya PN memenangi PRN Johor, Dr Sahruddin berkata perkara itu belum diputuskan dan beliau menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

“Saya hanya ahli parti, saya akan pastikan parti saya PN memenangi dahulu PRN Johor ini,” katanya.

Selain berhadapan dengan saingan calon BN, beliau juga ditentang oleh dua muka baharu iaitu Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nur Afiqah M Zulkifli. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *