Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin kerana jelas tidak menghormati semangat dan kerjasama politik.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PKR ‘melanggar’ kawasan PKR kerana tidak bersetuju dengan rundingan sebelum ini.
“Saya sedar mungkin tindakan ini diambil kerana kerusi yang dituntut oleh Muda dalam rundingan tidak dipersetujui oleh PKR.
“Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muda dan PKR sebelum ini dilapor akan bertembung di kerusi DUN Larkin pada PRN Johor.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik sama ada memilih Muda atau PKR.
Syed Ibrahim seterusnya mengingatkan Muda pimpinan Syed Saddiq itu menimbang semula tindakannya sebelum penamaan calon esok.
“Memang benar bahawa rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tidak akan mengambil langkah serupa untuk ‘melanggar’ kerusi Muda dalam PRN Johor kerana menghormati Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).
“Itu tindakan kurang bijaksana malah akan dicemuh oleh pengundi dan rakyat yang sudah pun muak dengan politik perebutan kuasa.
“PKR akan terus bertanding di kerusinya untuk memenangi hati pengundi.
“PKR hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini, sekiranya Muda tetap meletakkan calonnya di kerusi ditandingi PKR,” katanya.
Leave a Reply