Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KETUA MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong mendakwa, keputusan pemilihan calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat berdasarkan telunjuk dan agenda pemimpin tertinggi parti itu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu berkata, keputusan pemilihan tidak dibuat berdasarkan keseluruhan aspek yang perlu termasuk mereka yang berkelayakan untuk menjadi calon pada PRN tersebut.
“Pemimpin MCA Pusat sebaliknya hanya mahu mengukuhkan kedudukan dalam parti dengan mencalonkan individu yang merupakan penyokong mereka.
“Pendek kata, pemimpin MCA lebih mementingkan pilihan parti berbanding daripada kepentingan masyarakat dalam PRN Johor ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, Danga Bay, Johor Bahru hari ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membuat pengumuman calon akhir MCA bagi PRN Johor pada Sambutan Ulang Tahun MCA ke-73 di Dewan Persatuan Akhlak Che Ann Khor Yong Peng, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.
Semalam, Ka Siong mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
Siew Kiong yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor berkata, amalan berpuak-puak dalam MCA juga antara faktor yang mempengaruhi pemilihan calon parti itu.
Penasihat kepada Menteri Besar Johor itu berkata, amalan berpuak-puak tersebut juga menyebabkannya tidak dicalonkan pada kali ini.
Katanya, bukti dakwaan itu boleh dilihat apabila kepimpinan MCA pusat membariskan calon-calon yang tidak mempunyai jawatan di peringkat bahagian dan tidak dikenali masyarakat setempat.
Menurutnya, antara 15 calon yang ditampilkan ada antaranya merupakan pegawai kepada menteri dan timbalan menteri.
Sehubungan itu, beliau meminta maaf kepada masyarakat khususnya penyokongnya kerana tidak dapat mewakili mereka dalam PRN Johor.
“Saya juga memohon maaf kepada mana-mana pimpinan bahagian MCA yang berkelayakan tetapi tidak tercalon kerana sokongan mereka terhadap saya.
“Saya turut berasa kesal kerana pemimpin parti tidak mempertahankan kerusi tradisi MCA iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang hanya kerana kepentingan politik dan agenda peribadi,” ujarnya.
Walaupun tidak dicalonkan, Ka Siong masih kekal setia dengan perjuangannya MCA demi kesejahteraan rakyat.
“Saya tetap berterima kasih kepada sokongan diberikan kepimpinan BN negeri dan Pusat terhadap saya walaupun pada akhirnya parti saya sendiri tidak bertolak ansur.
“Akhirnya, saya berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan memberi sokongan kepada saya, saya percaya jika satu pintu ditutup, akan ada pintu lain yang terbuka buat saya,” jelasnya.
Leave a Reply