Akmal Nasrullah

Lawan PKR di Larkin, Muda dianggap amal politik dangkal

TINDAKAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sekaligus menyebabkan pertembungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap sebagai amalan politik dangkal dan tidak matang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Nasir berkata, meskipun tindakan MUDA itu tidak memberi kesan terhadap fokus perjuangan PKR, namun ia tidak lain hanya akan meyakinkan tanggapan buruk orang ramai terhadap MUDA.

“Tindakan Muda ini hanya, jika tidak berhati-hati ketika ini akan mengesahkan tanggapan ramai pihak yang menyifatkan daya politik Muda yang masih dangkal dan tidak matang dalam menilai pihak kawan dan lawan.

“Walaupun kita kena akui Muda ada hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi yang mereka inginkan, tetapi AMK tertanya-tanya apa motif sebenar Muda mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan Keadilan telah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan DUN Larkin, Johor Bahru, hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Dr. Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.

Sementara itu, Muda pada Khamis mengumumkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.

Menurut Akmal, tindakan itu mampu menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan kepada pengundi DUN berkenaan apabila parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sebelum ini dikatakan akan bersama Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, tindakan Muda itu juga bertentangan dengan pendirian Syed Saddiq sebelum ini yang mengumumkan tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR.

“Muda meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PH adalah sama seperti mana dilakukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan.

“Walaupun berhadapan risiko pecah undi, akibat tindakan Muda, Keadilan tetap yakin akan mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi PH dalam PRU yang lalu.

“Pemilihan Dr. Jamil juga bertepatan dengan nilai, prinsip dan integriti yang dipegang oleh Keadilan dalam pemiilihan calon pilihan raya dan seterusnya menawarkan pemimpin berkredibiliti untuk diangkat sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

Selain calon PKR dan Muda, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *