Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz menyeru anak muda supaya terlibat sama dengan proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan bukan sekadar menjadi ‘keyboard warrior.
Ketua Pemuda PN itu berkata, mereka perlu faham peranan anak muda amat penting dan mereka bakal menjadi kuasa baharu serta menentukan politik negara.
Beliau berkata, PRN Johor akan menjadi satu sejarah baharu dalam sejarah politik negara apabila Undi 18 bakal direalisasikan.
Ketua Pemuda Pas Johor itu berkata, dalam PRN tersebut menyaksikan pertambahan 30 peratus pengundi baharu iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18.
“Adakah anak muda sanggup beratur panjang di pusat pengundian bagi menentukan halatuju politik negeri mereka?
“Ataupun mereka hanya menjadi ‘keyboard warrior’ yang melepaskan amarah di media sosial sahaja.
“Oleh sebab itulah, kesedaran perlu digerakkan kepada setiap anak muda yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk turun mengundi dan terlibat di dalam proses politik dan demokrasi negara.
“Kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di 183 buah negara menunjukkan bahawa cabaran terbesar yang dihadapi oleh golongan muda adalah peluang yang sedikit dalam proses penentuan dasar dan polisi negara.
“Ini menyebabkan hilangnya kepercayaan golongan muda kepada kerajaan dan polisi kerajaan,” katanya menerusi Facebook rasmi beliau, hari ini.
Katanya, sejarah telah mengajar kita bagaimana kebangkitan golongan muda telah mengubah regime pemerintah di Timur Tengah.
Anak-anak muda di Malaysia katanya, perlu sedar kuasa yang mereka ada, satu kuasa yang besar untuk menentukan kepimpinan negara.
Ahmad Nawfal seterusnya menyatakan lima kelebihan yang ada pada anak muda apabila mereka turun mengundi:
- Anak muda kena melihat di dalam proses demokrasi di Malaysia, setiap undi adalah dikira. Bahkan hanya dengan satu undi boleh menentukan wakil rakyat di setiap kawasan dan parti yang akan memerintah sesebuah negeri. Sejarah pernah menunjukkan kerajaan Pas di Kelantan hanya memerintah dengan kelebihan 1 kerusi dan 2 undi pada tahun 2004.
- Golongan muda juga yang paling terkesan dengan impak ekonomi terutamanya pasca pandemik Covid-19. Beban hutang yang bertambah dan kadar pengangguran yang meningkat akan memberi kesan yang cukup besar kepada anak muda.
Situasi ini tidak akan berubah sekiranya anak muda berdiam diri dan tidak membuat satu keputusan politik yang besar. Kita hanya boleh membuat perubahan dengan memilih pemimpin politik yang menyokong polisi yang menguntungkan anak muda. Tidak ada orang yang akan mengundi untuk kepentingan orang muda melainkan golongan muda itu sendiri.
- Akses kepada media sosial membolehkan golongan belia mengenali calon-calon yang bakal diundi. Hari ini kita boleh mengenali calon-calon yang bertanding dengan menaip nama mereka di Facebook, Twitter, Instagram, youtube dan google.
Carilah calon yang berkaliber, parti yang mempunyai dasar yang mesra anak muda dan parti yang mampu menunaikan apa yang mereka janjikan. Tidak ada istilah kami buta politik dalam dunia hari ini.
- Keterlibatan golongan muda dalam politik adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan negara. Rugi sekiranya hak yang diberi disia-siakan dan akhirnya kita yang merana.
Keterlibatan dalam proses pengundian merupakan satu usaha untuk merubah polisi dan memilih calon yang akan membawa polisi anak muda. ‘Vote early, vote often’, tahun ini kita mula turun mengundi, kita akan ingat inilah sejarah yang besar dalam hidup dan kita pasti akan terus turun untuk mengundi.
- Hari ini kita mungkin berfikir, ‘apa guna aku turun mengundi, bukannya ada apa-apa kesan pada hidup aku’. Namun, sedarlah undi kita pada hari ni akan menentukan kehidupan kita pada empat tahun mendatang.
Akan datang apabila kita mula ‘struggle’ untuk membina kehidupan berkerjaya dan berkeluarga barulah kita sedar bahawa menyesalnya kita tidak turun mengundi.
Oleh itu, mulakan satu langkah pada hari ini, bersuara, buat pilihan, turun mengundi, inilah suara kita dan dan usaha kita untuk melindungi kehidupan kita pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua anak di Johor agar turun mengundi pada PRN Johor.
“Ayuh orang muda, jalankan tanggungjawab kita untuk menentukan pemimpin dan parti yang boleh membawa hasrat dan suara kita ke depan. Inilah usaha kita untuk menjaga kehidupan kita pada masa mendatang,” katanya.
Leave a Reply