PARTI Warisan (Warisan) berkemungkinan meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan 12 Mac depan.
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata calon Warisan yang bertanding bagi DUN itu adalah anak muda dalam kalangan penduduk tempatan dan namanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Kalau tiada halangan kita bertanding di (DUN) Bukit Batu. Yang bertanding ini bukan orang Sabah, kita akan tentukan yang bertanding (di DUN Bukit Batu) adalah orang muda dan anak tempatan,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina hari ini.
Sebelum ini, Warisan mengumumkan untuk meletakkan calon bagi kerusi DUN Permas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi DUN Bukit Batu telah dimenangi calon PKR Jimmy Puah Wee Tse selepas memperolehi 17,105 undi menewaskan Teo Lee Ho dari Barisan Nasional (BN) dan Juwahir Amin daripada PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh bagi pengundian PRN Johor dan Sabtu ini (26 Feb) ditetapkan untuk tarikh penamaan calon manakala pengundian awal pada 8 Mac.
— BERNAMA
Leave a Reply