Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEMERIAHAN pesta demokrasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila dua gabungan politik terbesar negara akan mengumumkan calon-calon mereka hari ini.
Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon-calon mereka yang akan masuk ke ‘gelanggang politik’ PRN Johor.
Selain PN dan BN, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan turut mengumumkan calonnya hari ini.
BN menjadi gabungan politik pertama yang akan mengumumkan calon-calon mereka di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Jalan Yahya, Johor Bahru pada jam 9 pagi ini.
Menurut Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, gabungan itu menawarkan 30 peratus muka baharu daripada 56 calonnya dan percaturan BN berbeza dengan PRN Melaka yang menampilkan 80 peratus calon muka baharu.
Difahamkan hanya 30 peratus calon muka baharu kerana ramai dalam kalangan ketua bahagian dan ahli jawatankuasa terutama UMNO enggan memberi laluan kepada calon muda atau muka baharu untuk bertanding.
Malah sehingga saat akhir semalam, pembahagian kerusi masih berjalan dalam mesyuarat di kediaman rasmi Menteri Besar di Johor Bahru yang dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin komponen BN.
BN Johor walaupun mendabik dada dan mengakui selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yakin akan menang dua pertiga majoriti, tetapi situasi politik terkini amat mencabar dan sukar diramal.
Mereka hanya bergantung kepada peratusan mengundi yang rendah bawah 65 peratus untuk menang selain memikul bebanan ‘dosa’ mencetuskan PRN Johor kononnya untuk mendapatkan kestabilan politik di negeri selatan tanah air itu.
Apa yang pasti sukar untuk BN terutama UMNO ‘mensuci dan mencuci’ dosa mereka yang menghalalkan PRN Johor ketika berkempen kerana rakyat Johor cerdik dan tidak akan mudah ‘menghadam’ alasan mereka bahawa semua dilakukan untuk kestabilan politik.
BN sebelum ini diramalkan akan terbungkam di tanah kelahirannya sendiri dalam cubaan matlamat menghalalkan cara mereka dan sukar untuk menyembunyikan sifat ‘keserigalaan’ yang tamak dan gila kuasa daripada pengundi PRN Johor yang sudah tahu niat dan matlamat mereka.
Sementara PN pula menjadi gabungan politik kedua yang akan mengumumkan calon mereka di Pulai Springs Resort, Pulai, Johor Bahru pada pukul 3 petang ini namun komposisi calon masih menjadi teka-teki.
Namun apa yang pasti, PN akan memastikan anak tempatan diberi keutamaan dan mereka akan menampilkan calon yang hampir seimbang merangkumi golongan berpengalaman, orang muda serta wakil wanita.
Jumlah berapa ramai muka baharu yang akan dinamakan PN hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan apa pasti, calon PN adalah mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat.
Menariknya juga, calon-calon PN menjalani proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bebas daripada rekod jenayah, kes mahkamah atau mempunyai masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
PN juga memberi jaminan calon-calon mereka terdiri daripada mereka yang bersih, mempunyai integriti yang tinggi dan memiliki kredibiliti.
Itu adalah kriteria calon-calon PN dan pada masa sama, sumbangan serta rekod bersih Tan Sri Muhyiddin yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar akan menjadi faktor tarikan kepada pengundi.
Menarik perhatian apabila PN akan mengetengahkan manifesto yang bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang pada PRN itu yang pertama kali diadakan dalam sejarah Johor.
PN akan turut memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.
Pejuang pula mempunyai strategi sendiri apabila mengadakan majlis pengumuman calon yang akan dibuat Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di YS Conezion, Muar, pada pukul 2 petang ini, bukan di ibu negeri seperti dilakukan gabungan dan parti politik.
Parti itu akan mengumumkan 42 calon mereka dan setakat ini memutuskan untuk bertanding secara solo serta tidak bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) kerana percaya akan menang di kerusi yang mereka tandingi.
Keputusan dan pemilihan calon itu didakwa adalah berdasarkan kehendak rakyat dan kesesuaian komposisi pengundi.
Pejuang memutuskan demikian selepas mengambil kira beberapa faktor kerana ada kawasan yang tidak sesuai untuk parti itu memandangkan ia adalah parti Melayu antaranya faktor kaum dan bangsa, usia serta kesetiaan kepada parti lain.
Sebuah lagi parti baharu yang akan menumumkan calon-calonnya adalah Muda yang memilih kawasan elit iaitu di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru pada pukul 2 hingga 4 petang ini.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengumumkan dua lagi calon iaitu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja dan Machap selepas mengumumkan empat calon di DUN Puteri Wangsa, Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang.
Setakat ini calon-calon Muda merupakan anak muda walaupun mendakwa parti tersebut tidak terbatas untuk golongan muda sahaja, mereka mempunyai latar belakang yang berbeza selain merupakan golongan berpendidikan dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Bagi komponen Pakatan Harpan (PH) seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, masing-masing sudah mengumumkan calon mereka sebelum ini secara berasingan.
PKR mengumumkan 20 calon, Amanah 16 calon manakala DAP mengumumkan calon mereka secara berperingkat-peringkat dan sudah memperkenal 11 calon setakat ini yang kebanyakannya kerusi tradisi mereka.
Bagi Parti Warisan (Warisan) pula yang mahu melebarkan sayap ke Semenanjung, sudah mengumumkan akan meletak calon bagi kerusi DUN Bukit Batu dan Permas selepas membuat penilitian dan yakin mampu merebut kerusi tersebut atas faktor tertentu.
Sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membuat kejutan pada saat akhir, mereka mengumumkan akan bertanding satu kerusi sahaja iaitu di DUN Kota Iskandar dan juga memutuskan akan bertanding secara solo.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula masih menimbang untuk bertanding lebih daripada dua kerusi DUN dan pengumman calon dijangka dilakukan esok dan janji mereka adalah mengenengahkan calon muda, berpengalaman dan pernah berkhidmat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Leave a Reply