PARTI Bangsa Malaysia (PBM) hari ini mengumumkan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohd Talha berkata, kerusi-kerusi tersebut adalah Puteri Wangsa, Tiram, Stulang, Maharani.
Menurut beliau, calon-calon PBM yang akan bertanding adalah Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (N15: Maharani), Mohd Azmi Ali (N40: Tiram), Steven Choong Shiau Yoon (N41: Puteri Wangsa) dan Muhammad Saiful Bahari Sahari (N45: Stulang).
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Parti Bangsa Malaysia telah memutuskan untuk meletakkan calon di empat kawasan DUN dalam PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac 2022.
Keputusan awal adalah untuk Parti Bangsa Malaysia bertanding di dua kawasan DUN.
Bagaimanapun, kajian penilaian lapangan dijalankan Jabatan Pilihan raya telah mengenal pasti dua lagi kawasan DUN yang berpontensi untuk Parti Bangsa Malaysia memperolehi kemenangan.
Empat kawasan tersebut adalah DUN Puteri Wangsa dan DUN Tiram dalam Parlimen Tebrau, DUN Stulang (Johor Bahru) dan DUN Maharani (Muar).
Calon-calon yang akan bertanding adalah Muhammad Hanis Asmui Bin Md Salleh (N15: Maharani), Mohd Azmi Bin Ali (N40: Tiram), Steven Choong Shiau Yoon (N41: Puteri Wangsa) dan Muhammad Saiful Bahari Bin Sahari (N45: Stulang).
Calon-calon Parti Bangsa Malaysia akan membawa aspirasi Agenda The Great Reset 2030 yang terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi dan peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.
PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang disertai oleh Parti Bangsa Malaysia, yang mana ia merupakan medan untuk mengetengahkan iltizam parti dalam usaha membina Malaysia yang lebih inklusif dan progresif untuk masa hadapan.
Leave a Reply