Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
CALON Parti Bangsa Malaysia (PBM), Mohd. Azmi Ali di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram berazam membantu mengatasi masalah pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang jika menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anak kelahiran Ulu Tiram yang berusia 51 tahun itu berkata, dua isu berkenaan boleh disifatkan masalah utama di kawasan tersebut.
“Sehingga kini masih wujud lagi isu pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim dan ini jelas ada industri terbabit serta tular dalam media sosial baru-baru ini.
“Begitu juga dengan nasib penduduk setinggan yang selalu terlepas pandang, sekiranya saya diamanahkan sebagai wakil rakyat, saya pasti akan memperjuangkannya. Semoga penduduk Tiram terima saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis PBM memperkenalkan empat calonnya yang akan bertanding dalam PRN Johor yang diumumkan Timbalan Presiden PBM, Haniza Talha di Puteri Wangsa, Johor Bahru, hari ini.
Calon DUN Stulang, Muhammad Saiful Bahari Sahari, 33, pula yakin kebolehannya bertutur dalam Bahasa Mandarin memberi peluang kepadanya mendekati penduduk berbilang bangsa termasuk Tionghua di kawasan itu.
Muhammad Saiful mendakwa sudah tidak asing lagi kawasan itu kerana pernah menyantuni penduduk setempat dengan menjayakan program amal.
“Saya mengutamakan konsep perpaduan dan kesejahteraan negara dan sekiranya diberi peluang bergelar wakil rakyat, saya akan membantu masyarakat berbilang bangsa,” katanya.
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon, 64, yang bertanding kerusi DUN Puteri Wangsa pada kali ini akur dengan keputusan pucuk kepimpinan PBM supaya bertanding di kawasan berkenaan.
“Antara kekangan saya hadapi sebelum ini terutama ketika berurusan dengan agensi kerajaan negeri berkaitan isu di DUN diharap dapat
diatasi sekiranya saya menang di Puteri Wangsa.
“Saya yakin ia memantapkan lagi perkhidmatan saya. Saya sudah bergiat dalam politik lebih 15 tahun dan mungkin saya boleh berkongsi
pengalaman saya bersama calon baru,” ujar Naib Presiden PBM dan Pengerusi PBM Johor itu.
Calon termuda PBM di DUN Maharani, Muhammad Hanis Asmui, 28, juga yakin mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekirnya terpilih walaupun masih muda dan itu bukan halangannya.
Leave a Reply