Calon Muda mohon maaf, ralat profilnya dikaitkan dengan 2 animasi popular

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Mohd Azrol Ab Rahani ralat dan kesal apabila profilnya sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikaitkan dengan animasi Anak-Anak Sidek dan Keluang Man.

Azrol berkata tidak pernah mendakwa sebagai tulang belakang untuk kedua-dua animasi popular tersebut.

“Kerdil betul bila saya dengar ada petikan saya ini tulang belakang. Bila saya tengok kembali video pengumuman, tak ada pun sebut menjadi tulang belakang.

“Mungkin ada ralat waktu profil saya diumumkan. Cuma saya nak sebut, waktu kegemilangan animasi tempatan, saya adalah antara insan yang bertuah merasai pengalaman di dunia animasi, cuma bukan lagenda Anak-Anak Sidek dan Keluang Man,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan Azrol yang sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man berazam mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda Felda jika menang dalam PRN Johor.

Persatuan Animasi Malaysia (Animas) kemudian menafikan Azrol sebagai tulang belakang malah memaklumkan pernah terlibat dalam dua animasi popular tersebut.

Menerusi profil dikeluarkan Muda dalam bentuk kenyataan akhbar semasa pengumuman beliau sebagai calon DUN Bukit Permai pada Isnin, memaklumkan Azrol merupakan sebahagian daripada kumpulan yang bertanggungjawab mencipta animasi Keluang Man dan Anak-Anak Sidek.

Malah semasa majlis mengumumkan beliau sebagai calon di kerusi tersebut, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memaklumkan Azrol pernah terlibat dengan dua animasi tersebut.

Mengulas lanjut, Azrol sedar soal hak cipta sesuatu jenama termasuk dalam bidang animasi perlu dipelihara dengan baik.

“Saya tidak ada niat untuk melafazkan atau melakukan perkara perkara yang mengguris hati rakan-rakan komuniti animasi tempatan. Untuk itu, saya mohon maaf atas perkara ini. Saya sedia ditegur. Kalau ada masa untuk bertemu, saya boleh bertemu kawan-kawan juga.

“Tapi saya memang terlibat dalam pembikinan animasi tempatan waktu berada di Makmur Megah. Waktu itu, saya antara yang terlibat dengan team animasi ‘Wise Mise’ sebagai animator, syarikat ini juga yang menerbitkan animasi Mergastuah dan Tok Tam,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *