MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad setelah seorang peguam yang mewakili Zizie Izette disahkan positif Covid-19.

Peguam Ridha Abdah Subri yang hadir bagi pihak Bung Moktar dan Zizie Izette memberitahu Hakim Rozina Ayob bahawa peguam itu yang mewakili tertuduh kedua (Zizie Izette) telah disahkan positif pada 20 Februari dan dikuarantin hingga 26 Februari ini.

“Seorang lagi peguam yang mewakili Zizie Izette iaitu Datuk K Kumaraendran dan M Athimulan yang mewakili Bung Moktar adalah kontak rapat kepada peguam berkenaan serta kedua-dua peguam itu turut dikuarantin,” kata Ridha Abdah.

Pasangan suami isteri itu hadir pada prosiding Khamis.

Pada Khamis ditetapkan untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk menyoal balas seorang saksi utamanya, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, yang juga saksi pendakwaan ke-25 dalam perbicaraan kes rasuah berkenaan.

Rozina kemudian menetapkan 3 Mac ini untuk mendengar permohonan pendakwaan yang dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950. Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here