Fahmi Zainol

Bertembung di DUN Larkin; AMK kecewa Muda turut letak calon

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) melahirkan rasa kecewa dengan sikap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang disifatkan sanggup ‘menggadaikan’ muafakat bersama dalam Pakatan Harapan (PH) demi mencapai cita-cita ‘peribadi’ beliau.

Pengarah Pilihan Raya AMK, Fahmi Zainol berkata, tindakan Muda meletakkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin jelas bertentangan dengan ikrar Syed Saddiq sebelum ini iaitu untuk tidak ‘melanggar’ mana-mana kerusi yang telah dipersetujui secara bersama oleh blok pembangkang.

Fahmi yang juga Ketua AMK Pulau Pinang berkata, keputusan Muda itu jelas menimbulkan kemarahan akar umbi PKR sehinggakan ada yang menuntut parti tersebut turut meletakkan calon di kerusi DUN Puteri Wangsa dan kerusi lain yang ditandingi Muda sebagai ‘balasan’.

“Sudah beberapa kali parti Muda sengaja membakar api dalam blok PH. Hari demi hari, tujuannya jelas iaitu sengaja membuat onar dalam blok pembangkang, bukannya melawan musuh utama seperti yang dicanangkan beliau selama ini.

“Oleh itu, kami sudah menjangkakan dari awal dan bersedia dengan kemungkinan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Parti Muda sebelum ini mengumumkan Ketua Penerangannya, Rasid Abu Bakar, 28, sebagai calon kerusi DUN Larkin sekali gus menyaksikan pertembungan dengan PKR yang lebih awal mengumumkan calon mereka iaitu Dr. Zamil Najwah Arbain.

Jelas Fahmi, beliau dan anggota AMK yang lain kini bersedia dengan jentera pilihan raya di tahap maksimum bagi menghadapi sesiapa sahaja walau dilanggar ‘kawan’ dan ‘lawan’.

“Kami di Keadilan (PKR) juga sentiasa berdiri teguh dengan prinsip keadilan dan akan terus bersuara untuk rakyat demi kesejahteraan semua,” katanya.

Tambahnya, sebagai ahli parti beliau dan anggota AMK yang lain bagaimanapun akur dengan apa sahaja percaturan daripada pimpinan tertinggi parti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *