Suami kurung, rantai isteri dalam sebuah pondok

SEORANG lelaki ditahan pihak berkuasa China selepas didakwa mengurung dan merantai isterinya dalam sebuah pondok.

Menurut pihak berkuasa tempatan, wanita itu ditemui menghidapi skizofrenia dan pernah hendak dijual beberapa kali termasuk sekali pada 1998 pada harga 5,000 yuan (RM3,313), selepas dia diambil dari kampungnya di barat daya wilayah Yunnan.

Pegawai berkata, tindakan khas segera diambil untuk menyiasat secara komprehensif dan mendalam serta memperbetulkan isu pencabulan hak itu.

AFP melaporkan, wanita yang dikenali sebagai Xiaohuamei yang bermaksud bunga plum kecil adalah ibu kepada lapan anak dan sedang menerima rawatan di hospital.

Pegawai di kawasan wanita itu ditemui pada awalnya menafikan dakwaan berlaku penculikan dan pemerdagangan orang tetapi siasatan peringkat tertinggi dilancarkan selepas bantahan awam.

Siasatan mendapati Xiaohuamei hilang selepas tinggal selama beberapa bulan dengan seorang lelaki di Jiangsu yang membawanya ke situ.

Selepas itu, dia dibawa oleh satu pasangan yang mempunyai sebuah hotel.

Dia kemudian dijual lagi kepada dua individu sebelum dibawa oleh keluarga suaminya sekarang.

Pihak berkuasa berkata, suami wanita itu yang bernama Dong, ditahan secara rasmi semalam bersama-sama dua individu atas dakwaan pemerdagangan.

Siasatan sedang dijalankan terhadap enam lagi suspek yang terbabit dengan permerdagangan wanita itu, manakala lapan pegawai tempatan dipecat dari jawatan masing-masing dan sembilan lagi dikenakan pelbagai hukuman.

Kes itu terus mengundang kemarahan orang ramai hari ini, dengan kemunculan tanda pagar berkaitan kes itu di media sosial China seperti Weibo yang meraih 580 juta tontonan selepas berita mengenai hukuman itu diterbitkan.

Sekurang-kurangnya 17 pegawai tempatan dihukum rentetan kes itu yang mencetuskan kemarahan.

Insiden terbabit juga mencetuskan perdebatan hangat mengenai kesihatan mental dan pemerdagangan orang pada Januari lalu, selepas sebuah video diterbitkan seorang blogger memaparkan wanita itu dirantai dan dikunci di bahagian leher dalam cuaca sejuk dekat wilayah Jiangsu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *