POLIS menerima enam laporan berhubung kenyataan yang dimuat naik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menerusi akaun Facebooknya, minggu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, hantaran bertarikh 13 Februari itu dikatakan bersifat provokatif dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenainya.
“Hantaran itu dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Loh Siew Hong,” katanya dalam kenyataan beliau hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan Undang-Undang JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan golongan atau kaum.
Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 504 kanun sama kerana membuat kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan selain cakna dan prihatin tehadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.
“Orang ramai digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Isnin lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka iaitu Siew Hong selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. – Bernama
Leave a Reply