PERIKATAN Nasional (PN) tidak mahu memandang rendah kepada keupayaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang berhasrat meletakkan calon di kerusi yang dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya sebelum ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya berkata, terserah kepada pengundi di Johor untuk menilai parti baharu yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.
“Dia (MUDA) berani… dia nak menawarkan muka baharu bertanding, itu terserah kepada pengundi. Saya tak nak ‘underestimate’ tetapi pastinya parti ini baharu, dia tak dilihat terkesan (kerana) belum lagi ada tanda-tanda perjuangan yang nak diukur oleh rakyat.
“Jadi terserah kepada pengundi untuk memikirkan sama ada mereka ini layak atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Warga Felda di Felda Taib Andak di Kulai, hari ini
Beliau berkata, selaku parti baharu, MUDA juga dilihat masih tidak berstruktur.
“MUDA terlalu muda… Syed Saddiq itu macam anak saya. Dulu dia dalam Armada Bersatu. Tetapi tak apa itu hak dia (Syed Saddiq)… dalam sistem demokrasi, dia nak bentuk muda ke tua, itu hak dia.
“Tetapi yang pasti dia (MUDA) tiada ahli yang ramai, sedikit sahaja. Cawangan dan bahagian pun tak tahu dekat mana,” tambah Muhyiddin.
Leave a Reply