Lelaki pakai baju tidur wanita pecah masuk rumah

PERCUBAAN seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Ria Height Fasa 1B, Jalan Utara Baru, Tawau, hari ini, dengan memakai pakaian wanita gagal apabila berjaya dicekup orang awam.

Kejadian pada pukul 8 pagi, suspek, 35, yang memakai baju tidur wanita, bertudung dan memakai pelitup muka cuba melarikan diri ketika keluar dari rumah yang dipecah masuknya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pengadu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun memaklumkan ketika tiba di rumahnya, dia mendapati sepasang selipar diletakkan di hadapan pintu rumahnya.

“Remaja itu hairan dan mula mengesyaki rumahnya telah dipecah masuk. Dia juga mendapati jeriji dan pintu utama rumahnya ditutup tidak rapat.

“Dia bertindak masuk semula ke dalam kenderaan dan tiba-tiba ternampak seorang lelaki berpakaian baju tidur wanita, memakai tudung dan pelitup muka keluar dari pintu hadapan rumah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurutnya, remaja itu kemudian menghubungi sepupunya yang tinggal di taman yang sama.

“Dia melihat suspek terus berlari dan masuk ke dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di lorong hadapan rumah dan terus memecut secara mengundur.

“Selepas kira-kira 30 minit kemudian, dia dimaklumkan oleh sepupunya bahawa suspek berjaya ditangkap di kawasan lorong utama taman berkenaan oleh orang awam,” katanya.

Peter berkata, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang hiasan wanita di dalam rumah berkenaan hilang disyaki dicuri suspek.

“Jumlah kerugian kira-kira RM150 dan suspek sudah diserahkan kepada polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *