Oleh RIZQI ZABIDI
KECEKAPAN pihak bomba bersama polis berjaya memujuk seorang lelaki yang mengalami halusinasi, untuk membatalkan hasratnya terjun dari bumbung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah petang tadi.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman, lelaki berusia 47 tahun itu pada mulanya datang ke IPD tersebut bagi membuat laporan polis kononnya dia diekori seseorang.
Begitu pun katanya, lelaki itu yang bekerja sebagai pengutip tin, kemudiannya dipercayai menaiki tangga bahagian tengah bangunan untuk ke bumbung bangunan IPD berkenaan di tingkat empat.
“Pintu besi yang menutupi laluan tangga penghubung bumbung tidak berkunci kerana terdapat kerja-kerja penyelenggaraan bumbung yang bocor.
“Dia kemudiannya disedari berada di bumbung bangunan IPD Kuala Muda kira-kira pukul 4.45 petang dalam keadaan tidak berbaju. Justeru pihak bomba dan ambulans dihubungi bagi tujuan bantuan menyelamat,” katanya.
Tambahnya, lelaki itu berjaya dipujuk untuk membatalkan hasrat tersebut dan dia terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.
“Setelah diselamatkan, lelaki itu mendakwa dia berada dalam keadaan halusinasi dan tertekan kerana dikejar seseorang menyebabkannya melarikan diri dengan menaiki tangga ke bumbung,” katanya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.
Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba 1, Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya turut menggunakan tali keselamatan dalam usaha memujuk mangsa bagi membatalkan hasrat membunuh diri itu.
“Lelaki itu berjaya diturunkan kira-kira pukul 6.35 petang dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 6.52 petang,” katanya.
Leave a Reply