159 nelayan Vietnam ‘rompak’ hasil laut negara didenda RM38.25 juta

SEBANYAK 159 nelayan warga Vietnam yang bertindak menceroboh untuk ‘merompak’ hasil laut di perairan negara sejak Mac tahun lalu hingga awal Januari tahun ini didenda sebanyak RM38.25 juta.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, dalam tempoh berkenan sebanyak 14 bot yang ditahan menerusi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut turut dilucut hak.

Menurut beliau, hukuman itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas semua nelayan asing berusia antara 18 hingga 60 tahun itu mengaku bersalah menceroboh perairan negara.

Beliau berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari dan Haryati Abdullah bersama Seksyen Siasatan Maritim Negeri Terengganu telah berjaya membawa pendakwaan 15 kes tersebut dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Justeru katanya, hakim telah memerintahkan kesemua bot dan peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dengan nilai rampasan sekitar RM20 juta.

Muhammad Sufi dalam satu kenyataannya hari ini memberitahu, warga Vietnam tersebut juga bakal berhadapan hukuman penjara sehingga tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Semua nelayan asing berusia antara 18 hingga 60 tahun itu mengaku bersalah menceroboh perairan negara.

Ujarnya, pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dalam perairan Malaysia dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan tentang nama, bendera, lokasi, jalan dan destinasi serta keadaan vesel tersebut memasuki perairan perikanan Malaysia.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan memandang serius penglibatan nelayan tempatan yang bersekongkol dan menjadi tali barut nelayan asing.

“Oleh itu, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

“Kita juga meminta kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *