BELUM pun reda resah dan penat berdepan banjir yang melanda pada Januari lepas, hampir 30 buah rumah Kampung Belimbing Dalam, Melaka, sekali lagi diuji apabila dibadai ribut dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati penduduk mula membersihkan rumah mereka sejak awal pagi tadi dan masih trauma dengan kejadian semalam yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut dan tidak kurang yang bimbang sekiranya ribut berlaku lagi dalam masa terdekat.
Bagi Muhamad Nuruddin Salman, 31, beliau yang ketika itu sedang bekerja di Kuala Lumpur, bergegas pulang ke rumahnya apabila mendapat panggilan daripada seorang ahli keluarganya mengenai kejadian ribut tersebut.
“Bila melihat keadaan rumah, memang saya hilang kata-kata. Hanya tinggal dinding rumah. Bumbung semua habis diterbangkan ribut.
“Bagaimanapun, saya syukur apabila sampai, dua anak saya, sepupu dan makcik saya yang ada di dalam rumah ketika ribut selamat,” katanya yang menjelaskan sebelum ini rumahnya itu turut dinaiki air namun hanya di kawasan luar rumah.
Mengenai nilai kerosakan yang dialami, beliau yang bekerja sendiri itu masih belum dapat membuat anggaran kerana mahu membersihkan dahulu rumahnya itu.
“Saya rasa nilai kerosakan lebih dari RM10,000. Selain bumbung, kebanyakan yang rosak adalah barangan elektrik serta tilam akibat hujan,” katanya yang akan memulakan kerja-kerja baik pulih dalam masa terdekat.
Turut terkesan dalam kejadian ribut semalam, Salina Mohd Ali, 42, yang ketika itu baharu saja tiba di tempat kerjanya di sebuah kilang di Batu Berendam.
“Memang sedih lihat rumah. Bumbung jenis zink dan genting di bahagian hadapan, ruang tamu dan tepi rumah, habis diterbangkan dan jatuh ke perkarangan rumah. Mujur dalam rumah tidak dimasuki air hujan dan barang-barang masih selamat.
“Atas faktor keselamatan dan kerana elektrik pun masih belum ada, saya dan empat anak yang berumur sembilan hingga 17 tahun kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya yang sebelum ini juga berdepan bencana banjir.
Dalam kejadian ribut semalam, kira-kira 70 buah rumah membabitkan dua buah daerah di Alor Gajah dan Melaka Tengah terjejas susulan hujan lebat yang berlaku lewat petang semalam.
Bencana itu juga menyaksikan satu PPS di buka di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam yang menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga selepas kediaman mereka rosak teruk selain terputus bekalan elektrik.
Antara yang turut terjejas akibat ribut semalam adalah sekolah, kedai dan warung makan dan berlaku insiden pokok tumbang namun tiada kecederaan dilaporkan. – Bernama
Leave a Reply