Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI komponen Barisan Nasional (BN) tidak menghalang Friends of BN untuk bertanding dalam Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor yang datang.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagaimanapun Friends of BN itu tidak dibenarkan meminta kerusi ditandingi MIC.
“Cuma kita nyatakan penditian kita, kita tidak menghalang pucuk pimpinan BN untuk memberi kerusi kepada ‘Friends of BN’, asal jangan ambil kerusi kita dan orang lain, itu akan mencalarkan imej kita,” katanya.
Menteri Sumber Manusia itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di Hotel Renaissance, Johor Bahru, hari ini.
Pada 30 Januari lalu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti), Datuk Seri R S Thanenthiran dilaporkan berkata, pihaknya berharap akan diberikan peluang untuk bertanding dalam PRN Johor.
Jelasnya, ini kerana Makkal Sakti selaku Friends of BN sudah lama mahu bertanding pilhan raya selain atas faktor kesetiaan mereka terhadap BN sejak lebih 14 tahun lalu.
Saravanan berkata, MIC berhasrat untuk kekal bertanding di empat kerusi tradisi mereka dalam PRN Johor.
Jelasnya, hasrat itu akan disampaikan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu pertemuan esok.
“Perjumpaan ini nanti untuk memuktamadkan pembahagian kerusi. Presiden (MIC) telah sampaikan (maklumkan) untuk kita kekal bertanding di kerusi yang kita tandingi sebelum ini.
“Kita di peringkat BN memang mengamalkan perkongsian kuasa dan kita akan membuat pilihan terbaik untuk parti dan negara,” katanya.
Mengenai permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya alam ada pihak menuntut kerusi.
Menurut Saravanan, mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang diingini tetapi pada akhirnya nanti pucuk pimpinan akan memutuskan perkara tersebut.
“Ini masa pilihan raya semua orang nak jadi calon, orang akan minta sana sini, lepas itu akhirnya kita akan akur keputusan pucuk pimpinan BN. Itulah kelebihan BN,” katanya.
Leave a Reply