MPN COVID-19

Berapa kali Zahid nak sumpah terserah, saya dah tunjuk saksi – Muhyiddin

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan beliau pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan yang dibuatnya sebelum ini bahawa Zahid meminta pertolongannya untuk menyelesaikan kes mahkamah adalah benar dan beliau mempunyai saksi.

“Itu hak dia (Zahid) nak sumpah ke tak sumpah, bagi saya bercakap kepada rakyat ini bercakap yang benar, nak bercakap kepada rakyat jangan bohong. Dah ada bukti malam itu saya sudah tunjukkan saksinya, tapi kalau dia nak sumpah berapa kali sumpah, sumpahlah terserah pada dia.

“Saya tak akan bersumpah sebab saya tak pernah berbohong. Apa yang saya sebut itu satu yang hak. Saya kata yang betul walaupun yang betul pahit untuk didengar, itu hak yang benar, bukan yang direka atau hanya sengaja main politik nak PRN Johor. Tidak sama sekali,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), hari ini.

Zahid sebelum ini menyatakan kesanggupannya untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa beliau pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan membawa ‘fail bertimbun’ bertemu bekas Perdana Menteri itu.

Zahid mempersoalkan dakwaan itu yang menurutnya hanya timbul menjelang musim pilihan raya, merujuk PRN Johor yang bakal diadakan bulan depan.

Presiden UMNO itu turut mencabar Muhyiddin untuk bersumpah laknat untuk mempertahankan dakwaan yang dibuatnya.

Dalam ceramah di Tangkak, Johor pada 17 Februari lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendakwa Zahid melawatnya selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’ untuk meminta bantuan menyelesaikan kes mahkamah.

Dalam perkembangan lain, berhubung senarai pembahagian kerusi dan calon PN bagi menghadapi PRN Johor, Muhyiddin berkata ia telah dimuktamad dan pengumuman rasmi akan dibuat Khamis ini.

“Pembahagian kerusi telah selesai antara parti dalam PN, malahan nama calon dikemukakan dan kita peringkat akhir dan akan umum 24 Feb ini, pengumuman dibuat secara rasmi di Johor,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *