DAP hari ini mengumumkan seorang ahli korporat wanita Ng Kor Sim, 39, sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu majlis yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Lim berkata, DAP yakin dengan kewibawaan Ng yang lahir dari keluarga susah namun berjaya dalam kehidupan sekali gus mampu memberi impak sama kepada penduduk di DUN itu.
Ng, yang juga ibu tunggal, merupakan pengurus besar di sebuah syarikat swasta dan aktif menyertai pelbagai pertubuhan komuniti sejak 2015.
Sebelum ini, DAP memperkenal 11 calon membabitkan kerusi DUN di Tangkak, Paloh, Mengkibol, Penggaram, Stulang, Johor Jaya, Bekok, Bentayan, Pekan Nanas, Senai dan Yong Peng.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA
Leave a Reply