AHLI Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa, syarat mendapatkan permit polis bagi penganjuran ceramah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah langkah ke belakang.
Memetik laporan Malaysiakini, beliau menganggap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu mengecewakan.
Menurut pemimpin DAP itu, walaupun Akta Polis 1967 sebelum ini memerlukan penganjur mendapat kebenaran polis, ia tidak lagi dikuatkuasakan.
“Seksyen 27 akta ini dipinda pada 2012. Maka penganjur tidak lagi perlu memohon kebenaran daripada polis. Mereka hanya perlu maklumkan masa dan tempat (ceramah diadakan) kepada polis,” katanya.
Nie Ching menambah, walaupun langkah berjaga-jaga penting untuk melindungi rakyat daripada COVID-19, syarat berkenaan permit polis tidak menyumbang ke arah itu.
“Ini terutama apabila SOP sudah jelas dari segi aktiviti dan kapasiti yang dibenarkan.
“Tambahan pula, ia memberi kuasa seluruhnya kepada polis untuk menahan jika dan bila mereka rasa sesuai,” tambahnya.
Beliau menggesa SPR untuk menilai semula SOP itu kerana ia juga tidak menjelaskan bilangan hari diperlukan untuk permit diluluskan dan akan menjejaskan proses demokrasi.
Nie Ching mendakwa, syarat itu boleh menjurus kepada sikap berat sebelah, jika gabungan pemerintah mendapat lebih banyak permit ceramah berbanding pembangkang.
Leave a Reply