Pusat rawatan kecantikan haram diusahakan warga asing digempur

BEBERAPA pusat kecantikan diusahakan warga asing di sekitar Selangor dan Pulau Pinang menggunakan taktik menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding biasa untuk menarik pelanggan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pusat kecantikan haram itu dikesan menjalankan pelbagai rawatan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sinar Harian melaporkan, operasi yang turut disertai KKM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu melibatkan lapan serbuan berasingan di Selangor dan Pulau Pinang.

“Seramai 21 individu warga asing terdiri daripada 20 wanita dan seorang lelaki diberkas melibatkan lapan premis di Dengkil, Kepong, Kuchai, Puchong dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di sebuah pusat kecantikan haram di Dengkil, hari ini.

Beliau memberitahu, kegiatan pusat rawatan kecantikan haram itu berjaya dikesan menerusi risikan dijalankan pihaknya bersama pegawai KKM.

“Siasatan awal dijalankan mendapati pusat rawatan kecantikan ini beroperasi tanpa tauliah KKM dan turut dijalankan oleh warga asing yang tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran profesional dalam bidang berkenaan dan pas yang sah dari Imigresen,” katanya.

“Mereka menawarkan pelbagai rawatan kecantikan seperti mencantikkan hidung, rawatan membesarkan anggota badan tertentu, perkhidmatan dan rawatan pemutihan gigi, perkhidmatan suntikan vitamin C dan botox dan perkhidmatan menguruskan badan.

“Rawatan ini dijalankan warga asing yang tidak mempunyai kemahiran formal tidak diiktiraf oleh KKM dan boleh mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan,” katanya.

Tambahnya, siasatan mendapati pelanggan pusat kecantikan haram ini terdiri daripada warganegara Malaysia seperti suri rumah dan pegawai-pegawai eksekutif.

“Perkhidmatan pusat rawatan kecantikan ini mendapat sambutan yang tinggi kerana mereka menawarkan bayaran lebih rendah berbanding rawatan pusat rawatan berlesen yang dikendalikan oleh profesional bertauliah.

“Kadar caj yang dikenakan antara RM350 hingga RM8,000 seperti ‘eye filler’ RM350, ‘breast filler’ (RM1,900) dan ‘botox filler’ (punggung) RM3,500 manakala pembedahan plastik mengenakan caj sebanyak RM8,000,” katanya.

Khairul berkata, kegiatan pusat kecantikan berkesan dikesan mempromosi perkhidmatan mereka melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Bagaimanapun hasil semakan mendapati pelanggan perlu membuat permintaan untuk memasuki media sosial khususnya Instagram,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen. 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *