Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BARISAN Nasional (BN) menawarkan 30 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memberitahu, keputusan itu diharap akan memperkuatkan peluang gabungan itu memenangi PRN.
“BN juga akan mengumumkan 56 calonnya bagi menghadapi PRN Johor, pada Khamis ini. Kita dah peringkat akhir muktamadkan calon-calon untuk PRN Johor.
“Johor ada muka baharu yang ramai termasuk calon muda di bawah 40 tahun. Oleh itu, sekurang-kurang 30 peratus calon kita nanti akan menampilkan golongan muka baharu.
“Saya yakin langkah menyenaraikan ramai calon muka baharu dan muda ini akan dapat memperkuatkan peluang BN untuk berjaya pada PRN nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022, Johor Bahru, hari ini.
Pada 28 Januari lalu, UMNO dan BN Johor dilaporkan akan melakukan perubahan termasuk mengemukakan calon muda seperti kemahuan masyarakat dan akar umbinya.
Hasni dilaporkan berkata, calon parti akan mengambil kira keperluan semasa termasuk pertambahan pengundi baharu susulan pelaksanaan secara automatik Undi18.
BN turut dilaporkan akan mengumumkan senarai calonnya bagi PRN Johor dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon, 26 Februari ini.
Leave a Reply