wan saiful umno johor

PRN Johor medan tolak kebangkitan UMNO, BN

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGUNDI harus menolak kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana matlamat mereka untuk menang adalah bagi menyelamatkan pemimpin tertinggi mereka yang terlibat kes rasuah.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka menggunakan PRN Johor kerana semata-mata mahu melindungi salah laku pemimpin mereka.

“Ini adalah PRN yang dipaksakan UMNO dan BN ke atas Bangsa Johor, ini bukan PRN yang dikehendaki orang Johor. PRN Johor ini diadakan kerana ada pemimpin UMNO yang terdesak, kalau tidak ada kuasa yang boleh disalahgunakan, ada pemimpin mereka yang akan masuk penjara.

“Disebabkan ketakutan itu mereka tidak ada pilihan dan mereka paksakan PRN ini dengan niat satu gelombang yang akan menyokong mereka dapati diwujudkan di Johor. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk menolak gelombang yang cuba diwujudkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, malam tadi.

Katanya, UMNO dan BN ketika ini sudah terdiam membisu kerana banyak isu yang ditimbulkan Bersatu dan PN tidak mampu dijawab sebaliknya cuba mencari isu-isu kecil dan remeh sebagai modal politik.

Menurutnya, UMNO tidak dapat menjawab apabila isu-isu berkaitan kepincangan dan kerosakan Felda didedahkan semasa di bawah pemerintahan BN, begitu juga kes-kes rasuah yang sedang dihadapi pemimpin tertinggi parti itu.

Sebaliknya apa yang cuba dimainkan UMNO katanya, adalah isu Tan Sri Muhyiddin Yassin mencemarkan nama dan maruah bapa Presiden UMNO, sedangkan gelaran ‘Zahid Komidi’ ditujukan bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada perangai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Ada pemimpin UMNO yang mempunyai berpuluh kes mahkamah masih mampu berdiri depan orang ramai, tak malu ke, ini perangai badut. Kalau nak jaga maruah ibu bapa dan keluarga, kita kena fikir banyak kali sebelum songlap duit rakyat,” katanya.

Beliau beranggapan, pemimpin berkenaan ‘belajar’ daripada bekas ketuanya yang tidak lagi mempunyai rasa malu selepas melakukan rasuah.

“Ini saya tak tahu macamana boleh wujud manusia seperti ini di muka bumi ini. Dia ajar rakyat, ajar masyarakat supaya berpegang kepada nak malu apa. Malu ini sebahagian daripada iman. Tiada perasaan malu maka tiada iman.

“Apa yang dia nak ajar kepada rakyat? Apa yang lebih pelik ada macai-macai dia menyokong. Malu apa bosku. Anak muda kena fikir adakah kita nak didik keluarga, membesar dengan didikan bahawa tiada perasaan malu, tiada masalah. Ini kita kena fikir secara serius,” soalnya.

Menurutnya lagi, disebabkan ketandusan isu UMNO memainkan isu Bersatu memecahbelahkan orang Melayu sedangkan apabila Bersatu mahu menyertai Muafakat Nasional (MN) untuk kesatuan Melayu, UMNO tidak ‘merestuinya’.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *