SUSPEK utama kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian RM800,000 di Bercham pada 15 Februari lalu ditahan.
Lelaki berusia 40 tahun itu merupakan dalam kes tersebut ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Baru Tambun sekitar pukul 8 malam pada Sabtu, hasil maklumat awam kepada polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek paling dikehendaki itu membantu polis dalam menyelesaikan siasatan kes berkenaan.
“Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas suspek selama empat hari sehingga Rabu ini bagi siasatan kes di bawah 457 Kanun Keseksaan.
“Polis kini sedang memburu rakan sejenayah suspek lain yang masih bebas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah harta benda yang dilaporkan di sekitar Ipoh sebelum ini.
“Polis merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat menangani masalah jenayah di daerah ini,” katanya.
Dalam laporan sebelum ini, polis telah menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
Kesemua suspek berusia 42 hingga 58 tahun itu dicekup ketika sedang memindahkan barang curi berkenaan dalam kenderaan.
Leave a Reply