PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan jangka panjang untuk meminda Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Presidennya, Musa Awang (gambar) berkata langkah itu bagi memberikan kuasa kepada kerajaan negeri mengadakan undang-undang bagi memberikan kuasa kepada mahkamah syariah negeri untuk menjalankan kuasa semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis agama Islam negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri-negeri, termasuk oleh jawatankuasa fatwa negeri-negeri.
Gesaan itu dibuat ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
“PGSM berpandangan bahawa apa-apa semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis agama Islam negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri sewajarnya dibuat oleh mahkamah syariah memandangkan ia adalah forum yang sesuai dan kompeten kerana ia melibatkan pihak-pihak di kalangan orang beragama Islam dan berpaksikan kepada hukum syarak.
“Bagi melaksanakan maksud pindaan tersebut, PGSM menggesa kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hari ini, panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.
Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal.
Seksyen 66A sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen tersebut.
Pada 21 Januari 2020, SIS Forum (SIS) memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.
Leave a Reply