Oleh ABU UBIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Azrol Rahani, akan mencuba nasib bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Azrol yang berusia 41 tahun dan sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia politik, mahu membawakan isu-isu Felda terutama masalah generasi ketiga dan keempat peneroka.
Ini kerana beliau sendiri merupakan generasi ketiga Felda dan amat memahami keperluan dan masalah anak muda dari tanah rancangan itu.
Dakwanya, generasi ketiga dan kempat Felda terpaksa keluar dari Felda kerana tiada peluang pekerjaan.
“Saya adalah anak Felda yang sudah lebih 20 tahun menetap di Felda, sangat mengetahui keadaan ini. Sekiranya menang kita akan
cuba bangunkan tanah-tanah Felda dengan projek pertanian dan penternakan yang moden.
“Ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan mereka tidak perlu berhijrah ke bandar,” katanya dalam majlis Muda mengumumkan tiga calon mereka yang akan bertanding dalam PRN Johor di Taman Soon Chong, Labis, Segamat, hari ini.
Tiga calon bagi DUN Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang itu diumumkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Azrol dilahirkan di Masai, Pasir Gudang, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Cahaya Baru, Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang I dan meneruskan pengajian di Kolej Yayasan Melaka dalam bidang Teknologi Animasi.
Beliau sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man yang pernah popular sebelum ini.
Sementara itu, calon DUN Tenang, Lim Wei Jiet, 31, yang merupakan seorang peguam setuju dicalonkan di kawasan tersebut selepas tidak sanggup lagi melihat kepincangan politik negara yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya mengambil keputusan menyertai politik pada tahun 2020 apabila melihat korupsi dan penyalahgunaan kuasa berleluasa. Saya tidak mahu mewariskan negara ini kepada anak saya dalam keadaan negara yang tidak progresif dan ketinggalan,” katanya.
Wei Jiet dilahirkan dan dibesarkan di Muar dan merupakan anak kepada pasangan guru, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Andrew Muar dan Sekolah Tinggi Muar sebelum menyambung pengajian ke Universiti Malaya.
Bagi calon DUN Bukit Kepong, Nurafiqah M. Zulkifli, 31, yang merupakan seorang aktivis berhasrat membawa pembangunan di kawasan luar bandar kerana beranggapan kemajuan yang dikecapi di Johor ketika ini tidak seimbang antara bandar dan luar bandar.
“Contohnya kawasan di Johor utara, kami kurang merasai limpahan pembangunan. Kebanyakan pembangunan berlaku di Johor Bahru. Di kawasan Johor utara banyak potensi boleh digembeling. Kemudahan asas, jaringan telekomunikasi dan internet juga masih tidak bagus,” katanya.
Nurafiqah merupakan anak jati Muar dan juga dibesarkan pasangan guru, mendapat pendidikan di SK Sultan Abu Bakar 2, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa.
Leave a Reply