POLIS menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan sekumpulan individu hingga menimbulkan kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh.
Mereka berusia 18 hingga 24 tahun itu ditahan di lokasi berasingan sekitar Ipoh pada kelmarin dan semalam antara pukul 7.45 malam dan 11.50 malam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menjalankan ujian saringan air kencing ke atas setiap suspek dan mendapati, semua yang ditahan positif ganja.
“Siasatan mendapati dua daripada mereka adalah rakan manakala dua lagi suspek tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, perselisihan faham antara dua keluarga berkaitan isu cinta dipercayai menjadi punca yang membawa kepada kekecohan di pekarangan HRPB di sini yang videonya tular pada Sabtu.
Kekecohan yang berlaku sekitar pukul 12.20 tengah malam pada Jumaat itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang mahu menghantar mangsa-mangsa cedera ke hospital.
Leave a Reply