Oleh RIZQI ZABIDI
Semua 11 daerah di Kedah direkodkan berada dalam zon merah COVID-19 melainkan hanya beberapa mukim sahaja berada dalam zon jingga dan kuning.
Mengikut data pergerakan14 hari taburan kes COVID-19 mengikut mukim yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri bermula 7 hingga 20 Februari 2022 (semalam), Kedah mencatatkan 29,372 kes aktif dan sebanyak 2, 254 adalah kes baharu.
Daerah Kota Setar mencatatkan kes aktif tertinggi iaitu sebanyak 6,981 kes diikuti Kuala Muda 6,690 kes, Kulim 4,084 kes dan Kubang Pasu 4,016 kes diikuti daerah lain.
Daripada 132 mukim di Kedah, hanya mukim Lengkuas daerah Kota Setar, mukim Wang Tepus daerah Kubang Pasu, mukim Kuala dan Haji Kudong di Kuala Muda serta mukim Padang Terap Kanan, Belimbing Kiri, Batang Tunggang Kanan dan Batang Tunggang Kiri di daerah Padang Terap saja yang masih berada dalam zon kuning iaitu mempunyai kes positif di bawah 20 kes.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, kebanyakan daripadanya adalah kes sporadik iaitu yang dikesan dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.
“Kes ini kebanyakkan dikesan melalui saringan kendiri daripada individu yang bergejala dan yang kedua adalah daripada kontak rapat.
“Apa yang kita dapati sekarang, hampir setiap kampung ada kes positif dan bukan saja di mukim,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Dr. Mohd Hayati, menjelaskan hanya beberapa kes berada dalam keadaan kritikal manakala majoriti adalah kes yang berada pada kategori satu dan dua.
“Kita harap mereka yang positif dan diminta dikuarantin di rumah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, jangan keluar rumah dan dedahkan diri kepada orang lain.
“Sekarang bagi sesetengah negara mereka isytiharkan COVID-19 sebagai selsema sahaja dan ada yang sudah memasuki fasa endamik, kita apa pun perlu terus jaga keselamatan kesihatan diri,” katanya.
Leave a Reply