TAN Sri Muhyiddin Yassin menerima laporan berkaitan kedudukan kewangan negara atas dasar kapasitinya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, laporan yang sama turut diberikan kepada menteri-menteri Kabinet tanpa mengira parti.
Menurut beliau, Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-COVID.
“Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam. Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya.
“Sebab tu sejak tahun lepas, kita dah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal, untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER dan sebagainya dari berlaku lagi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ketika berucap pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor di Kota Tinggi malam kelmarin, Muhyiddin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.
Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.
Muhyiddin turut menyatakan laporan tersebut dikemukakan kepada beliau oleh Tengku Zafrul dan beliau akan ‘membocorkan’ kedudukan kewangan negara yang sebenar satu hari ini.
Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong dilaporkan membuat laporan polis terhadap ucapan Muhyiddin itu.
Leave a Reply