Zahid Komedi

‘Komedi’ dituju perangai Zahid, Muhyiddin bukan persenda bapanya

GELARAN ‘Zahid Komedi’ yang digunakan oleh Presiden Bersatu, Tan Muhyiddin Yassin dalam ceramah baru-baru ini tidak ditujukan kepada bapa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menjelaskan, gelaran itu merujuk kepada perangai Ahmad Zahid dalam berpolitik.

Sehubungan itu, beliau berkata, Muhyiddin tidak berhasrat mempermainkan nama bapa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Saya tidak rasa Tan Sri Muhyiddin mempermainkan nama bapa Zahid. Zahid Komedi bukan merujuk kepada bapa dia tetapi perangai dia yang perangai macam badut, (Zahid Komedi merujuk kepada) perangai dia.

“Zahid kata dia terasa hati nama bapa dia dipermainkan, baru kau tahu terasa hati.

“Kalau dalam hati ada taman, cepat ‘koyak’, tak payahlah masuk politik,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang di pekarangan Pejabat Operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Pusat Perdagangan Bukit Gambir, Tangkak, malam tadi.

Gelaran Zahid Komedi dilaporkan diucap oleh Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PN Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, Mersing malam Rabu lalu.

Sementara itu, Wan Saiful mendakwa, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah pilihan raya yang dipaksakan ke atas rakyat hanya kerana kepentingan dan mahu menyelamatkan kepimpinan tertinggi UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah.

“Ini adalah PRN yang dipaksakan ke atas kita sebab UMNO ada pemimpin yang mahu menyelamatkan diri. Tetapi tidak mengapa kita akan hadapi PRN ini dan nyatakan kepada rakyat kita mempunyai tawaran yang berbeza kepada mereka.

“Jadi rakyat Johor mesti menghalang kebangkitan UMNO ini, kalau tidak dihalang satu Malaysia akan rosak. Ini soal maruah orang Johor, takkan kita nak undi parti yang dipimpin oleh pemimpin yang bakal ke penjara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berpandangan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk PRN Johor yang didakwa berat sebelah, tidak praktikal dan menyusahkan.

“SOP yang baru dikeluarkan untuk PRN Johor beri banyak kekurangan kepada kita contohnya hanya 100 orang dibenarkan dalam satu majlis dan program perlu habis sebelum jam 10 malam.

“Ini adalah pentas PRN yang tidak adil dan memang menyusahkan. Sepatutnya program boleh dibuat dengan jumlah ramai tetapi mengikut SOP dengan melakukan penjarakan dan mematuhi semua peraturan ditetapkan,” ujarnya.

Beliau menambah, tempoh masa yang diberikan untuk ceramah tidak cukup untuk parti-parti politik menyampaikan ceramah dan mesej mereka kepada lebih ramai orang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *