Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MASALAH pembahagian kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diharap tidak menjadi penghalang untuk Muda bersama-sama Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, kerjasama politik antara Muda dan gabungan tersebut akan terjalin dan seterusnya bersama-sama dalam satu blok.
“Sekiranya Muda mengikut semangat manifesto yang sama dan selesaikan masalah rundingan, saya tidak ada masalah untuk pastikan calon-calon muda turut menang pada PRN Johor.
“Kita tunggu respon mereka dan saya percaya, InsyaAllah respons itu akan positif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN Johor di Pulai Spring Resort, Kulai, malam ini.
Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh.
Semalam, Syed Ibrahim menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandinginya.
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, memang ada rundingan awal tentang pembahagian kerusi membabitkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Belum pernah seawal ini Kita mencapai kata sepakat membabitkan tiga parti dalam soal pembahagian kerusi, di Johor ini adalah yang pertama,” katanya.
Justeru beliau berharap, hubungan baik itu dapat diteruskan dalam meneruskan perjuangan PH sebelum melakar kemenangan dalam PRN Johor.
Leave a Reply