AMK persoal SOP PRN Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mempersoalkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilihat tidak praktikal semasa berkempen.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, contohnya SOP yang hanya membenarkan ceramah terhad kepada 100 orang di bilik gerakan parti adalah terlalu sedikit.

Jika sudah ada SOP tertentu untuk dipatuhi katanya, tidak perlu penganjuran ceramah hanya dibenarkan di bilik gerakan yang juga agak terhad keluasannya.

“Kenapa tidak ambil kira juga pematuhan SOP itu di tempat-tempat di mana sesuatu ceramah itu berlaku.

“Kalau ceramah, tidak perlu hadkan hanya di bilik gerakan, mungkin boleh dibuat di tempat awam dengan SOP sama dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Bilik Gerakan Utama PKR Johor di Larkin, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Dr. Wan Azizah berkata, semua pihak perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerana kes Covid-19 masih tinggi.

“Kita perlu seimbangkan, jika SOP itu dibuat untuk kita kurangkan kadar jangkitan, itu bagus tetapi kita perlu seimbangkan juga antara faktor kesihatan dan berkempen.

“Kebimbangan itu perlu supaya kita lebih berhati-hari bagi mengelakkan diri dijangkiti virus berkenaan dan dalam masa yang sama tidak mahu membebankan kesihatan dan kos hidup jika dijangkiti,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, satu usaha dan cara menangani masalah itu perlu difikirkan supaya PRN tersebut lancar


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *