PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan sebagai titik penamat terhadap kegilaan politik UMNO yang dikatakan rakus dan tamak kuasa.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO sedang melakukan kerosakan terhadap negara dengan merealisasikan Teori Domino di seluruh negara.
Beliau mendakwa, UMNO akan mengadakan PRN di negeri lain sekiranya Barisan Nasional (BN) menang PRN Johor dan situasi itu akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kesan dan implikasi PRN Johor akan dirasai seluruh rakyat Malaysia. Ini akan merosakkan satu negara. Mereka menggunakan Teori Domino dengan bermula di Melaka, apabila (kerajaan negeri) jatuh, maka akan jatuh satu lagi dan seterusnya.
“Jadi bermula pada PRN Johor kita harus menghentikan Teori Domino ini dan pastikan tiada negeri yang akan terus jatuh lagi,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di DUN Machap, Simpang Renggam, malam tadi.
Wan Saiful menambah, PRN Johor tidak sepatutnya diadakan dan alasan kekurangan majoriti kerusi adalah tidak berasas sama sekali.
Beliau memberi contoh, kerajaan negeri Kelantan yang diperintah PAS pernah mengalami situasi yang sama seperti di Johor.
“PAS pernah alami situasi yang sama di Kelantan apabila menang PRU pada 2004 dengan dua kerusi majoriti. Salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia setahun.
“Maka tinggal seorang sahaja ADUN dan yang ‘best’ pulak tu, ADUN PAS yang menang itu hanya dengan majoriti dua undi tetapi dari tahun 2005 hingga 2008, kerajaan pimpinan PAS kekal sampai tiba masa DUN dibubarkan.
“Kerajaan negeri Kelantan masa itu tidak pernah sebut kerajaan tidak stabil. Ini menunjukkan UMNO (di Johor) tidak pandai menguruskan negeri, dahla tak tau bodoh sombong pulak tu, tak tahu tanyalah,” katanya.
Leave a Reply