Salahuddin Ayub antara 16 calon Amanah dalam PRN Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan seorang daripada 16 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Salahuddin akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Selain Salahuddin, tiga calon ‘heavyweight’ Amanah lain iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan timbalannya, Dzulkefly Ahmad turut bertanding semula.

Suhaizan akan bertanding di kerusi DUN Pulai Sebatang yang sebelum ini disandang Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Taqiuddin Cheman.

Aminolhuda (Parit Yaani) dan Dzulkefly (Kota Iskandar) bertanding kerusi dimenangi pada PRU-14.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan barisan calon parti tersebut dalam di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.

Mohamad turut mengumumkan lapan calon baharu yang akan bertanding buat pertama kali iaitu Mohamad Fakrulradzi Mahmud, 32, (Endau) dan calon tertua parti, Mat Khairi Samsudin, 66, (Sedili).

Enam lagi calon baharu diperkenalkan ialah Ahmad Daniel Shahrudin (Panti), Rohani Banu Abd. Rahman Krishnan (Kahang), Abd. Hamid Jamah (Senggarang), Asim Abdullah Ainollotfi (Serum), Elia Nadira Sabudin (Bukit Pasir) dan Norazila Sanip (Penawar).

Mohamad berkata, semua 16 calon yang diperkenalkan itu melepasi tapisan ketat yang ditetapkan menepati ciri calon yang berkualiti dan berintegriti tinggi.

“Kita mengemukakan 16 calon bagi mewakil Pakatan Harapan (PH) untuk PRN Johor dengan lapan muka baharu.

“Kita juga mengemukakan empat calon wanita dan tiga pemuda serta kombinasi calon yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia yang mempunyai kekuatan masing-masing dalam menambat pengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, keputusan yang dibuat tersebut tentunya tidak disenangi sesetengah ahli parti namun berharap mereka dapat menerimanya dengan terbuka.

“Namun begitu, saya yakin selepas diumumkan, seluruh jentera dan penyokong akan bekerja kerras untuk menangkan calon kita,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *