DAP Amanah Paya Rumput PH PRN Melaka

PRN Johor:Amanah tidak campur tangan isu kerusi PKR-Muda

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

NAIB Presiden Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat menyelesaikan isu rundingan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan baik.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, semangat kerjasama dalam PH akan menjadi panduan kepada PKR dan Muda bagi mencari jalan penyelesaian sebelum tarikh penamaan calon pada 26 Febuari ini.

“Atas semangat PH, saya yakin Muda dan PKR dapat selesaikan rundingan pembahagian kerusi dengan baik. Pada pandangan saya biarlah PKR dan Muda selesaikannya bersama.

“Saya juga percaya apa juga isu yang berlaku dapat diselesaikan kerana banyak lagi masa sebelum tarikh penamaan calon PRN Johor,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Amanah bagi PRN Johor di Hotel Thistle, hari ini.

Hadir sama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Hari ini, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rundingan kerjasama politik dengan PKR sedia untuk diteruskan meskipun parti itu mengumumkan 20 calon mereka akan bertanding pada PRN Johor kali ini.

Sementara itu, Salahuddin menafikan dakwaan PH terlalu bergantung dengan DAP pada PRN Johor.

“Itu tuduhan lama, apabila kita bersama-sama dalam PH itu juga tuduhannya. Namun kita yakin dengan kerjasama DAP ini ia berikan keberhasilan iaitu mencapai kemenangan di DUN dan Parlimen,” katanya.

Salahuddin yang juga calon Amanah bagi kerusi DUN Simpang Jeram berkata, lapan calon muka baharu yang ditampilkan menjadi bukti Amanah sebuah parti yang releven, progresif dan mampu memikat pengundi.

“Daripada 16 calon yang diumumkan, lapan daripada mereka merupakan muka baharu gandingan orang muda dan senior. Saya yakin kombinasi calon yang diumumkan ini akan menarik perhatian pengundi.

“Selain itu, calon yang dipilih telah dibuat tapisan oleh parti termasuk di peringkat polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *