PN PRN Johor

PRN Johor: Semua calon PN ditapis, pastikan benar-benar bersih

PEMBAHAGIAN kerusi antara parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) selesai hari ini dan senarai calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dimuktamadkan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senarai calon tersebut akan dikemukakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk tapisan.

Beliau menambah, agihan kerusi yang dipertandingkan pada PRN Johor dalam kalangan parti-parti komponen PN berjalan lancar dan dapat diselesaikan dalam masa seminggu sahaja.

“Ini biasa kita buat supaya mereka ini cukup bersih. Tetapi lebih daripada itu, macam yang kita buat dan lakukan di negeri Melaka, semua calon-calon yang akan dipilih dalam parti-parti PN perlu angkat sumpah.

“Hanya PN di negeri Melaka, di mana calon-calon yang bertanding angkat sumpah menentang rasuah dan tidak akan salah guna kuasa.

“Kita nak cabar Barisan Nasional (BN) buat apa yang akan kita buat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PN Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah, Kota Tinggi, malam ini.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta pemimpin-pemimpin kanan PN yang lain.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berpandangan, langkah itu penting bagi membuktikan PN mempunyai iltizam dan kesungguhan membanteras rasuah serta penyelewengan setelah diberi mandat oleh rakyat.

Beliau menegaskan, kuasa yang diamanahkan oleh rakyat mesti diuruskan dengan cara yang betul dan telus seperti yang dikehendaki oleh agama.

“Jangan sesekali melalukan perbuatan yang salah, bertentangan dengan undang-undang. Mencuri, merompak, jauh sekali.

“Jangan ambil contoh orang di sebelah sana. Jangan ambil contoh bos awak,” jelasnya.

Berhubung calon-calon yang bakal diumum dalam masa beberapa lagi, Muhyiddin memberi jaminan mereka mempunyai pengalaman untuk mentadbir Johor dengan cekap dan berkesan setelah PN membentuk kerajaan negeri kelak.

“Yang membuktikan bahawa kita ada keupayaan, kita ada pengalaman dan kita ada kemampuan untuk mentadbir urus negeri Johor sebagai negeri yang lebih maju dan lebih berjaya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *