Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) tidak menolak untuk bertanding lebih daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden PBM, Larry Sng Wei Shien berkata, ini kerana pihaknya yakin penerimaan orang Johor terhadap parti itu walaupun baru bertapak dan pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
“Kita akan memuktamadkan jumlah kerusi dan calon yang akan bertanding diumumkan satu atau dua hari penamaan pada 26 Februari ini. Setakat ini dua calon PBM memang sudah pasti akan bertanding.
“Calon kita adalah calon muda, berpengalaman dan pernah berkhidmat. Kerusi yang akan kita tandingi nanti adalah kawasan campuran. Kita yakin 100 peratus akan menang di kawasan yang akan kita tandingi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Julau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran jentera PBM untuk PRN Johor di Jalan Eco Flora, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden PBM, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Pengerusi PBM Johor.
Wei Shien berkata, ketika ini PBM masih lagi dengan keputusan untuk bertanding secara solo tetapi tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana gabungan politik sedia ada.
“Dalam masa ini (keadaan politik) memang dinamik, apa-apa pun boleh berlaku, tapi dalam kesediaan parti kita, kita memang bersedia. Namun ada atau tak ada (bergabung atau tidak) kita tetap akan bertanding,” katanya.
Sementara itu, Shiau Yoon ketika ditanya sama ada akan bertanding DUN pada kali ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau menyerahkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti.
“Kita serahkan kepada kepimpinan parti, saya hanya mengikut arahan di peringkat Pusat,” katanya.
Leave a Reply