Muhyiddin UMNO

Muhyiddin seru ahli UMNO hijrah keluar parti, tinggalkan kemungkaran

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru ahli-ahli UMNO khususnya di Johor supaya beramai-ramai ‘berhijrah’ meninggalkan parti tersebut.

Menurut beliau, perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kebaikan kerana meninggalkan kemungkaran untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) yang menegakkan kebenaran.

Malah bekas Timbalan Presiden UMNO itu berharap ahli-ahli UMNO yang ingin berbuat demikian supaya tidak bimbang kerana ramai bekas pemimpin tertinggi parti tersebut termasuk beliau sendiri yang telah melakukan langkah serupa.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman dulu UMNO, tetapi bila dia wafat, meninggal dunia dia bukan UMNO.

“Almarhum Tun Hussein Onn… Perdana Menteri kita dulu, meninggal dunia selepas Perhimpunan Melayu Johor saya anjurkan, jemput dan pelawa dia untuk balik semula kepada UMNO, dia kata ‘la’. Tak mahu dah, sehingga dia meninggal dunia, tidak dalam UMNO.

“Tun Dr Mahathir masa hidup lagi dah keluar UMNO. Muhyiddin Yassin apa lagi, memang dah lama ditendang keluar daripada UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PN Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah, Kota Tinggi, malam ini.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta pemimpin-pemimpin kanan PN yang lain.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menjelaskan, seruan itu dibuat ekoran masih ramai ahli UMNO yang tidak mempunyai keberanian untuk meninggalkan parti tersebut walaupun menyedari kepincangan yang dihadapinya.

“Tinggalkan UMNO, tak apa, takda salah. Pasal ada yang kata susah, sejak dulu, macam baru-baru ni di Felda. ‘Macam mana saya nak tinggalkan, saya dapat tanah dulu pun Almarhum Tun Abdul Razak yang bagi. Saya redah hutan belantara, tembak harimau dalam hutan dan binatang-binatang buas untuk bangunkan. Tak lupa.

“Betul… itu waktu UMNO asal. Lepas UMNO diharamkan tahun 1988, UMNO baru. Tak sama UMNO baru dengan UMNO asal.

“UMNO baru dilahirkan di Kuala Lumpur. UMNO asal dilahirkan di Istana Besar Johor Bahru,” jelasnya.

Beliau menambah, perbuatan meninggalkan UMNO untuk bersama PN dalam saf perjuangan baharu adalah satu ibadah kerana mereka tidak akan bersama dengan kluster mahkamah yang dianggap telah melakukan banyak kemungkaran dan kesalahan.

Muhyiddin turut mengingatkan ahli-ahli UMNO agar jangan bersubahat dengan kumpulan sebegitu.

“Jemput mereka untuk bersama-sama kita dengan PN. Tak apa, boleh masuk PAS boleh, Bersatu boleh, Gerakan boleh. Ini semua adalah parti gabungan yang saya yakin dan percaya bersih.

“Lebih baik kita tinggalkan yang kotor, yang lalu iaitu UMNO,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *