Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamadkan senarai nama calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada masalah berkenaan pembahagian kerusi dan semuanya sudah selesai.
“Soal senarai nama calon hari ini selesai, tiada sebarang masalah untuk kita bekerjasama kerana PN ada tiga parti sahaja untuk berbincang iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program sarapan pagi 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bandar Baru Uda, Johor Bahru hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN tidak hanya memilih kriteria calon yang mempunyai kelayakan akademik untuk PRN Johor.
Beliau berkata, kriteria lain yang juga dipertimbangkan termasuk pengalaman dan kemahiran mereka.
“Ada kes di mana calon ada kelayakan akademik sampai peringkat universiti dan sebagainya, tetapi ada juga calon miliki pengalaman dan rekod kedudukan serta jawatan.
“Jadi kita ambil kira semuanya. Tetapi walau apapun, kelayakan akademik memang antara salah satu syarat yang dipertimbangkan tetapi bukan satu-satunya,” katanya.
Semalam, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata, PN bakal mengumum senarai calon mereka dalam PRN ini pada 23 Februari ini iaitu tiga hari sebelum tarikh penamaan calon.
Leave a Reply